Thursday, January 26, 2012

APA KAITAN SEJADAH DENGAN SOLAT?

SEJADAH...Berasal dari tiga huruf iaitu Sin, Jim dan Dhal yang dalam bahasa Arab disebut sa ja da bermakna sujud.
Bila ditambah dengan huruf Ha di hujungnya, maka jadilah ia perkataan sejadah, iaitu tempat atau alas yang kita gunakan untuk bersujud. Bersujud di atas sejadah bermaksud sujud kepada Allah SWT yang Maha Besar dan Maha Pengampun.
Maka itu, perkataan sa ja da apabila ditambah dengan huruf Mim di awalnya membawa maksud masjid, tempat manusia bersujud kepada Allah SWT.

SEJADAH berkait rapat dengan solat. Di masjid, dibentangkan deretan sejadah untuk jemaah bersolat manakala di rumah dan tempat kerja, pasti ada sejadah untuk digunakan, apabila tiba waktu untuk bersolat.

Bila tidak ada sejadah, kita tidak punya pilihan kecuali bersolat dengan beralaskan sesuatu seperti kain, selimut, kotak ataupun surat khabar.

Adakah sejadah satu kewajipan hukum?

Sebenarnya, solat di atas sejadah hanya satu anjuran sunnah. Al-Quran dan as-Sunnah tidak pernah mewajibkan umat untuk bersolat di atas sesuatu, malah umat Islam boleh bersolat di mana sahaja, di atas bumi ini seluruhnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Kamu diberikan kelebihan atas manusia dengan 3 perkara. Dijadikan barisan-barisan kamu seperti barisan para malaikat, dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci, apabila kamu tidak mendapatkan air."

Dalam hadith lain, Baginda bersabda: "Telah dijadikan bumi untuk ku menjadi alat bersuci dan tempat bersujud. Kerana itu, hendaklah seseorang di antara kamu solat di mana sahaja ia dapat. Di mana sahaja kamu dapati solat, maka kerjakanlah ia. Semua tempat adalah masjid (bagi kamu)."

Rasulullah SAW pernah bersolat di atas sehelai tikar sebagaimana diterangkan oleh isteri baginda, Maimunah r.a.: "Baginda mengerjakan solat di atas sehelai tikar yang kecil yang dianyam dari pelepah-pelepah kurma (al-Khumrah)."

Jikalau tiada sesuatu untuk dijadikan pelapik maka memadai di alas tempat sujud sahaja, sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat dalam hadith berikut: "Kami sering bersama Rasulullah SAW di waktu panas terik. Apabila seorang di antara kami tidak kuat untuk merapatkan mukanya ke bumi (kerana tanah yang panas), dia menghamparkan kainnya, lalu bersujud di atasnya."

Jika tidak ada apa-apa untuk digunakan sebagai alas untuk bersolat maka dibolehkan solat terus di atas permukaan bumi.

Baginda pernah solat di atas tanah sekalipun ia dalam keadaan becak dari kesan hujan, sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Said al-Khudri r.a. : "Pada suatu malam, hujan turun dengan lebat sehingga basah tempat solat Rasulullah SAW. Ketika berdiri dari solat subuhnya (iaitu selesai solat), aku lihat wajah baginda terkena kesan-kesan air dan tanah."

Solat adalah ibadah yang paling mulia di sisi agama. Dengan itu, sudah tentu dilarang bersolat di tempat-tempat yang tidak bersih.

Umar al-Khattab r.a. menerangkan dalam hadith berikut:

"Rasulullah SAW melarang mengerjakan solat di tujuh tempat iaitu tempat pembuangan sampah, tempat penjagaan dan penyembelihan binatang, kawasan perkuburan, di tengah jalan, di tempat/bilik mandi, di tempat pertambatan unta dan di atas Ka'abah."

Abdullah ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku diperintahkan supaya bersujud di atas tujuh tulang iatiu dahi."

baginda menunjuk pada hidungnya, bererti sewaktu sujud, dahi dan hidung perlu menyentuh ke bumi.

"Dan dua tangan, dua lutut dan dua hujung telapak kaki, juga janganlah dia mengumpulkan (mengenggam) pakaian dan rambutnya dengan kedua tangan."

Dari hadith di atas, Rasulullah SAW telah menerangkan anggota-anggota sujud iaitu dua hujung kaki, dua lutut, dua telapak tangan dan muka, iaitui hidung dan dahi.

Kesimpulannya:

1. Mendirikan solat dengan beralaskan sesuatu seperti sejadah adalah perbuatan sunnah yang baik untuk diikuti tetapi ianya tidaklah wajib.

2. Solat ditempat yang tidak bersih adalah dilarang, tetapi sebahagian para ahli fiqah membolehkan solat di tempat sebegini jika di alas dengan sesuatu yang tebal dan tidak telus.

3. jika tiada ruang lain untuk bersolat melainkan di tempat yang sebegitu dan tidak mempunyai alas, seseorang itu tetap wajib mendirikan solatnya.

Namun semua perkara ini tidak perlu difikirkan sekiranya orang Islam berkunjung kemasjid untuk menunaikan solat.

Di masjid, kawasannya bersih, nyaman dan tenteram serta segala kemudahan terutama sejadah, telah tersedia.

Banyak masjid dan surau telah didirikan oleh pihak Kerajaan, korporat, badan pergerakkan Islam dan orang perseorangan, disetiap pelusuk negara untuk memudahkan masyarakat setempat beribadah.

Kini, apa yang perlu dilakukan adalah kunjungan ikhlas kita semua, ke masjid untuk menunaikan kewajiban kita untuk mengimarahkan masjid seperti Firman Allah SWT:

"Hanyasanya yang layak mengimarahkan masjid adalah orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah, mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk."
(Surah At-Taubah: 18)

ENDS

No comments: