Friday, December 16, 2011

RAHIM ZAIN


PERHUBUNGAN KAUM DAN REALITI HIDUP
                                                                                                 oleh Rahim Zain
                                                                                                rahimzain01@hotmail.com

Apakah yang menjadi punca orang Melayu tidak sedap duduk hari ini? Hurmat kaum bukan-Melayu terhadap kaum Melayu berakar umbi dari zaman Kesultanan dan Penjajah. Penjajah yang membawa masuk ramai buruh asing untuk bekerja di lombong, ladang, membina landasan dan mengurus kretapi, dan berkhidmat di bidang profession dan teknikal memperkenalkan pendatang itu kepada masyarakat dan budaya yang berketuakan Raja Melayu dan pembesar Melayu. Perkhidmatan Awam ciptaan Penjajah juga dipimpin dan dianggotai ramai oleh orang Melayu. Pendatang telah masuk ke alam Melayu sebagai mana orang Melayu ke negeri Cina masuk ke alam Cina, atau yang ke India masuk ke alam India. atau yang ke Arab masuk ke alam Arab. Tidak sedikit bilangan pendatang yang ‘masuk Melayu’. Dalam persekitaran Tanah Melayu  yang dimiliki oleh orang Melayu dan majority rakyatnya pada masa itu orang Melayu perkara menghurmati kepada kaum Melayu adalah bukan paksaan tetapi terbit dari cara hidup zaman itu. Pendatang terpanggil ikut turut adat dan adab di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Dalam masyarakat feudal yang baru berakhir 50 tahun lalu orang Melayu menjunjung Raja Melayu dan orang bukan-Melayu pun menjunjung Raja yang bumi miliknya mereka pijak. Raja Melayu di zaman Raja berkuasa memberi pajakan lading dan menganugrah pangkat kepada kaum Cina yang kaya. Dari dulu sudah wujud asas kaum pendatang menghurmati Raja Melayu dan orang Melayu; terutama apabila orang Melayu cinta damai. Kaum Cina yang dari gulungan buruh dan peniaga dan di bidang perkhidmatan juga ikut menghurmati Raja Melayu dan menghurmati orang Melayu sebagai rakyat Raja dan naugan Raja yang mereka tidak boleh ambil ringan. Tunjuk kurang ajar terhadap orang Melayu bererti kurang ajar terhadap Raja. Demikianlah alam feudal dan alam penjajahan telah mengekalkan kedudukan Raja Melayu dan orang Melayu dalam darjat yang layak dihurmati.

Dan dalam zaman itu sehingga hari ini kaum-Melayu tidak pernah menzalimi kaum lain. Pergaduhan kaum yang berlaku sekali dua secara spontan bukan mencermin sikap sentiasa menzalimi. Pergaduhan adalah peristiwa spontan yang terbit dari provokasi pihak-pihak yang terlibat dan tidak boleh dianggap lebih dari itu. Dan sifat spontan ini terbukti dengan kesanggupan semua pihak melupakannya dengan sekelipmata dengan  hubungan kaum kembali pulih seolah-olah pergaduhan tidak pernah berlaku.

Kaum Melayu telah selama ini menghurmati cara hidup orang-bukan Melayu secara terbaik. Mereka yang memilih untuk hidup berusaha dan berniaga dalam pangkuan masyarakat di kampong Melayu telah turun temurun dapat menikmati suasana aman damai, bahkan keselamatan mereka dilindungi oleh orang Melayu. Amalan hurmat kaum Cina dan India kepada Raja Melayu bersambung dengan tercapainya Kemerdekaan.

Dalam pembahagian tugas dalam Perikatan orang Melayu dianggap sesuai untuk menjadi pemandu di bidang politik manakala orang Cina dianggap sessuai untuk memandu dan membimbing orang Melayu dalam bidang ekonomi, perniagaan dan perdagangan. Dengan bertambahnya bilangan penduduk Cina dan India dan dengan tiada sistem pelajaran dan pendidikan yang memupuk budaya dan kefahaman sejarah dengan betul bagi mecapai transisi dan integrasi dengan berkesan warisan budaya hidup hurmat menghurmati telah terkorban di tangan pemimpin Negara yang asyik dengan politik perbalahan. Di bawah kepimpinan Melayu UMNO yang tidak cukup masak dari segi jiwa perjuangan kebangsaan dan tidak cerdik lebih dari pandai meniru Penjajah mentadbir, dan lagi pula tidak bervisi jauh sebagai orang yang benar-benar menghargai kemerdekaan sebagai langkah mengembalikan maruah bangsa Melayu walaupun dalam Negara berbilang kaum peluang mencorak tanah Melayu yang merdeka telah diabaikan.

Pemimpin-pemimpin Melayu yang menerima kemerdekaan bersama rakan-rakan dalam Perikatan telah leka dengan kerja mentadbir dan berperanan  orang besar dan tidak peduli atau tidak beri keutamaan kepada pembinaan Negara dalam erti pejuang bangsa. Perkara kepentingan Melayu. Bangsa Melayu dan Islam telah tidak diletak di atas tapak yang mulia atau tidak dimajukan dengan cara positif selari dengan tanggungjawab kerajaan Negara berbilang kaum dalam memajukan rakyat jelata. Memajukan orang Melayu tidak bererti melemahkan kaum lain. Itu mereka tidak faham dan mereka tidak libatkan kaum-kaum lain secara bertanggungjawab dalam memajukan orang Melayu. Mereka lena dengan adanya jaminan dalam bentuk peruntukan dalam Perlembagaan. Agama Islam, budaya Melayu, bahasa Melayu, khazanah orang Melayu telah tidak diurus dengan baik bagi mencorak dan menjamin kedudukan orang Melayu dalam keadaan sejahtera sebagai anak watan, bebas dari ketakutan hilang di bumi sendiri. Di bawah pengendalian polotik yang tidak bijak Raja Melayu menjadi jauh dari rakyat Melayu dalam erti kata Raja ada rakyat Melayu; agama Islam menjadi agama yang tidak dapat berkembang sewajarnya dari segi pelajaran dan pengajaran dan asas moral rakyat; Lihat bagaimana Islam sebagai agama rasmi ditafsirkan secara lemah dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ditafsirkan secara sonsang sehingga bahasa Melayu jadi layu.

Tanpa pembajaan yang betul tentang perhubungan kaum, dan dengan meluasnya ilmu pengtahuan tentang undang-undang dan hak asasi manusia hurmat kepada Raja Melayu, pembesar Melayu dan orang Melayu oleh kaum bukan-Melayu telah beransur-ansur berubah bergantung kepada tahap  toleransi dan toleransi berpilih. Ada yang dihurmati atas rasa malu mata kepada seseorang ketua Melayu. Ada yang dihurmati kerana mengenangkan kedudukan sesuatu keluarga yang berjasa dan ada yang dihurmati kerana orang lain menghurmati, dan ada yang hurmat-menghurmati kerana orang Melayu yang berurusan dengan mereka memang beradab dan layak dihurmati.

Sebenarnya istilah ‘ketuanan’ Melayu atau kembarnya ‘pertuanan’ Melayu yang mulai diguna selepas Merdeka tidak pernah membawa apa-apa implikasi buruk dan tidak juga pernah menimbul reaksi yang keras semata-mata kerana istilah itu tidak bermusuhan. Ia tidak membawa erti dominance atau supremacy seperti yang diberi oleh mereka yang mahu kusutkan hubungan kaum. Apa yang dulu tidak menjadi masalah sekarang menjadi masalah kerana hubungan kaum tidak diurus dengan baik. Benteng toleransi telah dirobohkan oleh orang-orang bukan-Melayu  yang tidak sabar, yang tidak mahu bersabar, atau yang meluat seperti juga orang Melayu meluat dengan pemimpin mereka. Rasa tidak senang hati kaum bukan-Melayu terhadap penyataan orang Melayu dalam perkara kedudukan orang Melayu di bumi sendiri memang memeranjatkan  kaum Melayu.

Orang Melayu dan orang bukan-Melayu yang menerima istilah ketuanan itu dahulu tahu benar bahawa istilah itu harmless dengan tidak membawa konotasi penggunaan kuasa secara kasar tetapi sebaliknya membawa ingat bahawa Perlembagaan Negara telah menyimpulkan kedudukan orang Melayu yang menjadi tuan punya Tanah Melayu dengan peruntukan keistimewaan yang tidak patut dipandang rengan, dan yang ironisnya istilah itu apabila diguna oleh orang Melayu selepas merdeka adalah untuk menyedarkan pemimpin Melayu sendiri yang menerajui Negara yang telah lupa daratan terhadap tanggungjkawab sehingga ke hari ini. Istilah itu mengelirukan tanpa huraian sejarah dalam konteks masyarakat damai. Hanya yang jahat yang hari ini memberi konotasi kepada istilah yang tidak bertujuan jahat. Dan hanya yang jahat yang menggunakan istilah itu secara jahat baik bukan-Melayu atau Melayu..  

Lain nampaknya dengan pemimpin-pemimpin  Melayu UMNO yang selama ini selesa dengan toleransi tanpa menyedari akibat kecuaian demikian walaupun telah diberi tahu oleh rakyat Melayu. Keselesaan mereka berjangkit kepada rakyat Melayu. Orang Melayu yang selama ini hidup dalam Negara di mana kaum bukan-Melayu menghurmati Raja dan pemimpin mereka turut selesa dengan keharmonian yang wujud. Bahkan pemimpin-pemimpin Melayu tidak kering gusi bercakap menarik perhatian kepada Malaysia sebagai contoh baik Negara berbilang kaum.

Hari ini semenjak pegunduran diri Tun Dr. Mahathir dari kepimpinan UMNO orang Melayu mulai rasa terdesak kerana hurmat yang selama ini wujud dan ‘taken for granted’ sudah hanyat. Generasi baru yang tidak dibimbing dengan sejarah yang betul dan budaya harmoni yang paling paut memaut hati sanubari rakyat dalam Negara berbilang kaum tidak lagi kenal toleransi walaupun yang berumur masih tahu apa itu cara hidup lama. Bahkan orang dewasa yang selama ini berurusan secara toleransi telah mengambil kesempatan dari kelemahan kepimpinan Melayu untuk membuat memorandum kepada Perdana Menteri dalam perkara-perkara yang lazimnya mereka segan hendak lafaz.

Hilangnya rasa segan dan malu-mata terhadap orang Melayu inilah yang menjadi punca kepada rasa tidak sedap duduk orang Melayu. Mungkin orang UMNO tidak merasai, dan mungkin pemimpin UMNO juga tidak merasai hilangnya hurmat dari kaum bukan-Melayu terhadap kaum Melayu. Orang Melayu tidak sangka keadaan sedemikian muncul sebegitu awal. Orang Melayu yang mengharap kepada UMNO kerana UMNO mengaku UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO sangat merasai kehilangan hurmat yang mungkin menjadi mukadimah kepada kehilangan maruah dan kehilangan suara dalam negeri tumapah darah sendiri.

Yang menyebuk berkumpul, berseminar dan berkongres di sana sini adakah cendikiawan yang hilang punca. Masalah yang meghadapi orang Melayu tidak dianalisis betul-betul dengan fikiran kelas pertama. 71 resolusi telah dibuat dan semuanya adalah ulangan dari rintihan lama. Perkara pokok dan prinsip tidak dibezakan dari perkara yang bergantung kepada kebijaksanaan orang Melayu sendiri dalam meralisasikannya. Semua perkara dilonggokkan  dalam bakul-bakul yang dilabel Perlembagaan, Politik, Sosial, Kebudayaan

Perkara kaedah dan cara meneguhkan kedudukan orang Melayu boleh buat oleh orang Melayu sendiri di bawah dasar yang ada. Program memperteguhkan kedudukan ekonomi orang Melayu dan program membangun modal insan misalnya boleh diperhebatkan melalui muafakat yang sebenar disetiap lapisan dan peringkat serta kawasan dan bidang.  Itu akan lebih berkesan lagi dari mendesak dan merayu. Program perlulah dirancang dengan baik dan pengurusan pelaksanaannya pula dibuat dengan baik. Itu bidang yang orang Melayu perlu tahu untuk tidak mengganggu pemimpin. Yang diberi tugas mendidik mesti memerah otak untuk memberi pendidikan yang terbaik dan tidak pula meletak menara gading dibawah tempurung tanpa keterbukaan untuk membawa dan melibatkan yang terbaik membimbing anak Melayu, tidak kira dari mana dan bangsa apa. Yang mengurus pembangunan pertanian harus memberi dan membawa yang terbaik untuk memajukan amalan pertanian orang Melayu yang kelihatan masih jauh dari moden setelah 50 tahun merdeka.

Di bawah dasar yang ada semua ini boleh dibuat. Pokoknya sasterawan, budayawan dan cendikiawan yang mahu berperanan membimbing masyarakat Melayu perlu mengubah modus operandi dari yang ketinggalan zaman kepada yang moden, kepada cara yang mengambil kira kaedah menyelesai masalah dan membuat keputusan dengan berkesan. Tindakan yang paling berkesan bagi cendikiawan ialah dengan cara menyediakan program dan projek berimpak tinggi untuk dilaksanakan oleh setiap NGO yang bersama di Johor itu. Mereka juga boleh menggunakan keupayaan yang ada pada mereka untuk menjalain rangkaian bagi tujuan mendapat bantuan dan pertolongan dari dalam dan luar Negara dari kaum Cina, India dan segala bangsa di dunia yang dapat memperteguhkan kedudukan orang Melayu. Cendikiawan Melayu, bahkan kepimpinan Melayu, tidak boleh bersikap masalah orang Melayu mesti mendapat idea penyelesaian dari orang Melayu. Sikap sedemikian perlu dibuang segera.

Permuafakatan yang baik perlu bermula dengan niat mahu bermuafakat, mengambil langkah yang memupuk muafakat, yang meliputi semua yang berketurunan Melayu dan menolak godaan untuk tidak inclusive. Apa yang berlaku di Johor mesti dinilai dengan batu uji itu. Cendikiawan Melayu mempunyai peranan di barisan hadapan dan peranan itu memerlukan supaya cendikiawan yang terpanggil untuk berperanan mesti bersiap sedia melengkapkan diri untuk berperanan di tahap kelas pertama. Cendikiawan Melayu tidak boleh dihanyutkan oleh sasterawan dan budayawan yang mahu kepada keMelayuan dengan tidak bertempat, emotional dengan keMelayuan dengan tidak bertempat, mudah memboikot itu dan ini dengan tidak berfikir panjang. Sasterawan, dan budayawan memang ada peranan jika mereka melangkah kepada tapak sebenar masyarakat Malaysia moden dan melihat kepada masyarakat Melayu yang dalam peralihan yang perlu dibimbing. Orang Melayu dan rakyat bukan-Melayu dalam realiti Negara  berbilang kaum perlu kepada cara hidup yang memberi keselesaan berinteraksi yang darinya akan wujud budaya baru.

Di dalam perkara peralihan atau transisi masyarakat dan penjelmaan masyarakat baru sudah pun nampak bahawa rakyat yang celik sudah mulai berfikir sebagai orang Malaysia yang menuju destini yang sama yang mengatasai pertimbangan perkauman.  Tidakkah di sini rakyat mengharap kepada kebijaksanaan cendikiawan dan budayawan untuk berperanan menjadi bidan kelahiran budaya baru. Tugas ini lansung tidak dipedulikan oleh Menteri KEKWA yang lalu dan yang baru. Rakyat telah menarik perhatian kerajaan kepada aspek ini dengan cara yang mengejut. Bimbingan kaum Melayu kepada realiti Negara berbilang kaum boleh dipengaruhi oleh sasterawan, budayawan dan cendikiawan yang celik. Aktiviti selepas Merdeka dalam bidang sastera dan budaya secara bersajak, berpuisi, berpantun, bernobel, bercerpen, bersandiwara, berlirik lagu yang berpusat kepada patriotisma Melayu tanpa mengambil tahu adanya kaum Cina, India, dan kaum-kaum lain yang perlu dijalinkan dalam kehidupan dan usaha memajukan kaum Melayu adalah pengkhianatan oleh yang celik terhadap yang perlu dipimpin dan dibimbing..

Tidakkah sasterawan, budayawan dan cendikiawan yang berkongres di Johor baru-baru ini berdaya melihat kehadapan bahawa dunia Melayu dengan segala harapan orang Melayu dalam Malaysia akan semakin tertakluk kepada penentuan oleh mahkamah. Yang memang hak Melayu akan kekal hak Melayu seperti yang termaktub dalam  Perlembagaan dan perlu dihidupkan secara berhemah bagi meneguhkan kedudukan orang Melayu dan tidak disimpan kaku dalam Perlembagaan.      Perkara yang diheboh-hebohkan seperti Agenda Melayu dan ketuanan Melayu yang kabur dan lain-lain seruan yang dibuat-buat tanpa asas yang kukuh dari Perlembagaan akan mengalami nasib untuk ditentukan oleh Mahkamah atau suara ramai.

Mendesak, merayu dan menyindir untuk menyedarkan pemimpin yang tidak sedar diri bukan lagi menjadi cara perjuangan Melayu yang bijak. Perjuangan Melayu memerlukan kepada tindakan affirmatif yang boleh dilakukan dibawah dasar yang ada. Bahkan dibawah National Economic Policy yang menggantikan NEP seperti yang lama dulu diumum oleh kerajaan ruang untuk memajukan orang Melayu adalah luas. Yang menyempitkan keadaan adalah orang Melayu sendiri terutama kepimpinan Melayu termasuk NGO Melayu yang tidak faham politik Melayu sehingga pintu hilang hurmat oleh kaum bukan-Melayu terhadap Melayu terbuka luas. 

Yang jelas dan juga penting disedari oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang baru bangun dari tidur menjerit ketuanan Melayu dan agenda Melayu ialah hakikat bahawa semenjak surutnya air sungai perjuangan Melayu akibat sunami PRU12 Bangsa Melayu akan berhadapan dengan realiti terpendam. lebih awal. Memang tidak ramai orang Melayu yang didodoi dengan program kebudayaan Melayu dan lagu-lagu patriotic di radio, tv dan media cetak yang kenal atau mudah kenal  realiti terpendam itu. Ramai  yang dikhayalkan oleh oleh pemimpin-pemimpin Melayu masih beranggapan bahawa apa yang orang Melayu tidak rela melepas tidak boleh diceburi atau diperolehi oleh kaum lain! Masanya sudah tiba bagi orang Melayu yang berkhayal itu sedar dan hadapi realiti yang selama ini terpendam dan dipendamkan. Lebih lama orang Melayu berkhayal lebih lemah kedudukan kaum Melayu akan terjadi.

Realiti pertama yang perlu duhadapi oleh orang Melayu ialah hakikat bahawa Institusi Raja Melayu sudah renggang dengan rakyat Melayu sehingga Raja tidak nampak cepat merasai jeritan batin orang Melayu. Orang Melayu mahu terus percaya kepada kebijaksanaan bapa-bapa keMerdekaan yang meletakkan Raja Melayu sebagai ketua Negara dengan fungsi sebagai ketua kepada Negara berbilangkaum dan payung kepada kepentingan bangsa Melayu. Itulah yang mahu orang Melayu percaya dan orang Melayu memang percaya dan mengharap. Orang Melayu terus mahu percaya bahawa Raja Melayu tahu bahawa orang Melayu mengharap kepada Raja Melayu sebagai pelindung kepentingan Melayu. Tetapi pemimpin-pemimpin Melayu  tidak nampak pandai memupuk suasana dan saluran komunikasi yang mesra di antara rakyat dengan Raja.

Bertahun-tahun pemimpin-pemimpin Melayu berbalah dan berkrisis tanpa mendapat sentuhan nasihat atau teguran atau marah dari Raja yang boleh membuat pihak yang berbalah itu sedar dan bertaut. Orang Melayu mengharap kepada Raja untuk sekali sekala  bertanya khabar dan mengambil berat tentang kesejahteraan orang Melayu supaya orang Melayu  tidak jadi seperti ayam kehilangan ibu? Orang Melayu mahu Raja Melayu menjadi raja orang Melayu sambil menjadi Raja berPerlembagaan. Orang Melayu mengharap Raja Melayu menyuruh pemimpin Melayu hentikan perbalahan.
yang sudah lama wujud sehingga melemahkan kedudukan orang Melayu, pemimpin Melayu, dan Bangsa Melayu.  Orang Melayu mengharap supaya Raja Melayu mendorong pemimpin-pemimpin Melayu berprestasi cemerlang dan bermoral tinggi demi maruah dan kedudukan Bangsa Melayu sebagai peneraju Negara. Rakyat sangat berharap kepada Raja Melayu untuk memberi perlindungan dalam keadaan yang memerlukan.

Realiti kedua ialah wujudnya di kalangan pemimpin-pemimpin besar Melayu sikap tidak mahu memperjuangkan kepentingan Melayu Islam dalam perkara-perkara yang menyentuh kehidupan rakyat Melayu. Kekaburan dalam interpretasi peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang menyentuh apa yang orang Melayu pegang tidak mahu diperjelaskan dalam Parlimen dalam bentuk Akta yang bersesuaian. Pemimpin-pemimpin Melayu sendiri sudah lama melepas tangan dan rela membiar supaya perkara-perkara kepentingan Melayu yang dipertikaikan diserahkan kepada mahkamah.

Nampaknya sudah tidak ada ruang atau kesediaan atau keberanian atau usaha untuk pemimpin-pemimpin Melayu angkatan baru berjuang dengan berhemah dan roh perjuangan Melayu bagi melindungi dan menangani isu kepentingan Melayu dalam masyarakat berbilang kaum walaupun semua tahu bahawa Bangsa Melayu didedahkan kepada risiko hilang maruah jika keputusan mahkamah merobohkan kepentingan Melayu. Dalam keadaan sekarang setiap kali perkara kepentingan  Melayu ditolak oleh mahkamah begitu aibnya Bangsa Melayu dibuat.

Pemimpin-pemimpin Melayu di Parlimen tidak boleh lari dari tanggungjawab untuk berhujah kelas pertama bagi meyakin dan mendapat sokongan dari kawan dan lawan supaya kepentingan Bangsa Melayu tidak dijadikan sesuatu yang ditentukan oleh mahkamah. Apabila maruah Melayu hilang, kemuliaan Melayu pun turut hilang. Sikap hurmat orang Melayu dan orang bukan-Melayu kepada kepimpinan Melayu juga tidak dapat tidak akan terjejas. Orang Melayu akan jadi ejekan sebagai yang mahu menegak perkara yang bukan-bukan.

Jika pemimpin-pemimpin Melayu dalam Parlimen  tidak dapat berdiri berhujah mempengaruhi dan menyakinkan anggota Parlimen supaya menerima apa yang orang Melayu perjuangkan sebagai sah dan relevan apakah perlunya orang Melayu diajak berjuang melalui politik. Seluruh ahli Parlimen Melayu perlu bersedia setiap masa untuk mengambil bahagian berucap di Parlimen dengan berhemah dan bersedia penuh dari segi daya berfikir, daya berhujah, ilmu pengtahuan serta sifat goodwill terhadap semua dalam Parlimen bagi  memberi fahaman, mendapat persefahaman, sokongan, persetujuan, dan kelulusan Parlimen  dari kawan dan lawan demi ketenteraman jiwa orang Melayu tanpa memberi masalah kepada kaum lain. Orang Melayu yang berkerajaan yang diterajui oleh orang Melayu tidak lagi harus berjuang di luar pagar.

Mungkin politik sudah tidak relevan kepada orang Melayu selain dari hanya sebagai proses rakyat memberi kuasa kepada wakil rakyat untuk mentadbir negara. Jika kuasa politik tidak diguna dengan baik secara yang tidak menekan mana-mana pihak bagi melindugi kepentingan Melayu maka politik sudah tidak relevan kepada kepentingan Melayu. Politik dalam keadaan demikian hanyalah penting dan relevan bagi pengurusan dan pentadbiran negara.  

Wakil rakyat yang berapi-api tidak rela berkompromi lagi tentang kepentingan Melayu selepas ini sebenarnya berangan-angan. Perkara yang boleh menyelamatkan orang Melayu dari kehinaan dalam tanah air sendiri adalah Akta yang sepatutnya digubal untuk menjadi benteng kepada apa yang dianggap sebagai kepentingan Melayu. Kepentingan Melayu tidak boleh lagi samar-samar  atau yang bukan-bukan mengikut selera orang Melayu yang baru bangun dari tidur. Kepentingan Melayu adalah apa yang konsisten dengan Perlembagaan dan perlu dinyatakan dengan jelas. Itulah salah satu faedah berpolitik. Memelihara kepentingan Melayu yang sah tidak semestinya menekan atau menafikan hak kaum lain.

Oleh kerana adanya sikap tidak mahu memperjuangkan kepentingan Melayu dan sikap melepas tangan oleh pemimpin-pemimpin besar Melayu hari ini maka orang Melayu perlu segera terima Realiti ketiga ia itu peranan undang-undang sebagai penentu dalam apa-apa yang orang Melayu mahu tetapi dipertikaikan oleh kaum lain. Sentimen yang ditiup sekarang tentang ketuanan Melayu dan orang Melayu tidak rela diitukan dan diinikan oleh kaum lain akan menjadi beban dalam perjalanan hidup orang Melayu di tanah air sendiri apabila pihak berkuasa melepas tangan dan menyerahkan perjuangan Melayu yang sah supaya ditentukan oleh Mahkamah.

Di bawah realiti ketiga ini orang Melayu mesti mulai berdiri dengan kesedaran bahawa yang akan menentukan apa yang orang Melayu mahu kekalkan adalah undang-undang dan mahkamah. Ilmu undang-undang menjadi penting. Batu Putih jatuh ketangan orang kerana mungkin orang Malaysia tidak pintar dalam bidang undang-undang. Orang Melayu akan kehilangan apa yang mereka anggap mereka punya jika tidak pintar dibidang undang-undang.

Realiti ke empat ialah hakikat bahawa orang Melayu perlu bersaing merebut peluang. Siapa cepat dia dapat akan menentukan kedudukan Bangsa Melayu secara relatif dengan kaum-kaum lain. Penentuan kedudukan orang Melayu di masa depan memerlukan ilmu, kemahiran, daya fikir dan kecekapan serta kepantasan bertindak.  Ilmu sahaja atau sifat tidak rasuah seperti yang dikhutbahkan tidak akan menjamin kedudukan Bangsa Melayu jika tidak didokong oleh kebolehan dan kemahiran serta kepantasan bertindak. Hari ini contoh peluang yang terlepas adalah cukup banyak.

Dalam masa orang Melayu lesu menunggu RMK9, atau menunggu cabinet disusun semula atau menunggu pilihan raya diadakan kaum bukan Melayu tidak hirau itu semua. Perkara sedemikian tidak mengganggu perhatian mereka sehingga melesukan. Mereka sudah jauh kedepan dengan pencapaian dalam banyak bidang.Peluang dibidang ICT, baik dibidang penggunaan dan dibidang perniagaan serta perkhidmatan sudah teguh dipegang oleh kaum bukan Melayu dan sekarang mereka memegang bendera sebagai pihak di hadapan. Dengan tidak nampaknya orang Melayu berperanan dengan profile tinggi dalam bidang perdagangan, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain sektor dalam   Negara itu adalah tanda awal bahawa Melayu mulai hilang di dunia; ada tapi tidak nampak ada. Lama mana proses akan berlaku Allah saja yang maha mengtahui.

Realiti ke lima ialah bahawa segala dasar akan ditentukan oleh undi dan suara ramai atau kehendak ramai. Pihak yang mempunyai suara terbanyak akan menentukan kedudukan walaupun yang ditentukan itu tidak bersandar kepada logic. Realiti ini juga akan memeranjatkan orang Melayu yang baru bangun dari tidur dan yang beranggapan bahawa sebagai anak watan orang Melayu masih berhak dalam banyak perkara walaupun perkara-perkara itu  mungkin  sudah lama dikompromi. Sifat negara berbilang kaum akan mencorakkan dasar dan program negara. Dalam keadaan demikian orang Melayu tidak lagi boleh bersikap seperti Ahli Parlimen dari Johor yang tidak rela berkompromi lagi dalam perkara-perkara yang menyentuh kehidupan orang Melayu. Jika perkara yang hendak dipertahankan sebagai bidang orang Melayu itu adalah perkara biasa dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum maka ahli Parlimen dari Johor yang beria-ia tidak mahu berkompromi itu boleh dianggap sebagai bermimpi di siang hari. Rela atau tidak oleh beliau dunia sekeliling beliau akan berubah.


Realiti ke enam ialah kesihatan tubuh badan dan otak akan menentukan siapa dapat bertahan dalam situasi yang bergantung kepada  daya tahan, daya tahan lasak, dan semua perkara yang bergantung kepada kesihatan. Kaum yang tidak berada dalam keadaan sihat atau berpenyakit, atau kurang pemakanan akan tidak cergas dalam kehidupan negara. Mereka tidak akan dapat berpartisipasi dalam kegiatan sosio ekonomi dengan berkesan dan mungkin akan menjadi beban kepada negara. Orang Melayu yang mahu menjaga maruah perlu berpartisipasi sepenuhnya dalam kehidupan negara dalam serba bidang secara cergas dan berkesan. Orang Melayu yang bervisi cerah perlu beri perhatian kepada kesihatan dan mencegah kegiatan yang merosakkan kesihatan. Penagihan dadah sudah tentu melemahkan. Sebagai contoh kecil tentang kesihatan otak, ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang  menaungi bermacam persatuan pencak silat tidak pernah mengarahkan supaya perbuatan memecah batu-bata dengan kepala yang boleh mencacat otak dihentikan. Amalan memecah batu-bata dengan kepala untuk menunjuk kekuatan mungkin mendedah otak kepada risiko cedera. Demikianlah mutu pemimpin politik Melayu. Otak Melayu perlu dijaga baik-baik terutama di kalangan muda mudi yang menjadi harapan bangsa.

Realiti ke tujuh ialah realiti utama, iaitu kekayaan. Yang kaya menguasai yang lemah. Yang kaya menjadi bertambah kaya dan mendominasi kehidupan masyarakat, termasuk politik dan sosio ekonomi. Hari ini kaum Melayu jauh ketinggalan disebabkan realiti ini. Kekayaan  menentukan. Sebagai contoh, apabila Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan cara baru menjual tanah kerajaan melalui tender, itu adalah satu prinsip yang baik dari segi CAT tetapi itu juga mungkin menjadi mimpi ngeri kepada mereka yang bercakap tentang ketuanan Melayu. Tetapi kenapa tidak ada pemimpin besar Melayu yang muncul berhujah dengan baik, jelas, dan meyakinkan semua tentang implikasi sistem itu terhadap kaum Melayu dan rakyat yang selama ini bergantung kepada kerajaan untuk dianugrahkan tanah kepada mereka. Bagai mana peluang orang Melayu, syarikat Melayu memiliki tanah Bandar di Pulau Pinang. Inilah contoh yang memerlukan pemimpin Melayu berdaya tinggi dalam serba bidang termasuk berdaya fikir serta berdaya berhujah dengan baik bagi merumus dasar dan program yang baik untuk Negara dan rakyat jelata  

Setelah lima puluh tahun merdeka orang Melayu perlu kepada kepimpinan yang bijak dan dinamik untuk menjalin program memajukan kaum Melayu dalam program memajukan Negara diatas asas yang terbuka sebagai tanggungjawab Negara dan bukan berasas kepada apa yang terdaya dibuat oleh birokrat Melayu yang berminda sempit. 

Rakyat Melayu memang menunggu-nunggu dan mengharap-harap supaya  terbukanya hati pemimpin-pemimpin Melayu meletak sebelah politik kepartian untuk  duduk berbincang mengenai masa hadapan orang Melayu dan Bangsa Melayu dalam suasana keluarga Melayu. Perkampungan pemimpin-pemimpin Melayu dari berbagai parti dan pertubuhan yang berbeza ideoloji  bukanlah dengan tujuan untuk bermusuh dengan kaum-kaum lain tetapi adalah untuk mencari kefahaman sesama Melayu tentang apakah yang penting bagi Bangsa Melayu hari ini.  Bangsa Melayu tidak  harus menjadi lemah kerana kepimpinan yang masing-masing tidak mengutamakan keteguhan Bangsa Melayu dalam Negara berbilang kaum yang pesat berubah. Perjumpaan kemuncak pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti politik dan pertubuhan yang mempunyai ramai pengikut akan memberi peluang untuk membincang perkara yang baik untuk orang Melayu secara keluarga walaupun politik berbeza-beza tetap kekal. Bersetuju untuk berbeza dan berbeza dalam bersatu adalah cara hidup yang tidak asing bagi manusia dalam masyarakat yang maju. Orang Melayu pun boleh dimaju dan diperteguhkan jika kepimpinan dalam pelbagai parti politik dan badan melayari organisasi masing-masing secara bertanggungjawab terhadap keteguhan Bangsa Melayu dengan berasaskan kepada kefahaman tentang apakah yang penting bagi orang Melayu.

Rakyat Melayu mengharap supaya masalah Bangsa Melayu perlu disaring  dengan betul dan sekata oleh pemimpin tertinggi Melayu dengan cara mereka duduk membincang isu-isu penting sesama mereka dalam suasana keluarga Melayu bebas dari politik kepartian dan  terlindung dari publisiti negative. Pemimpin-pemimpin besar Melayu yang berpengaruh besar perlu tidak diketepikan supaya masalah Bangsa Melayu dapat difikir dari semua sudut. Orang Melayu hari ini perlu kepada tempat merujuk. Kaum Melayu hari ini terdedah.

Apabila sudah ada kesediaan pemimpin-pemimpin Melayu berkampung hendaknya biarlah peluang itu tidak dimusnahkan oleh sebab persediaan yang tidak rapi. Pemimpin besar Melayu yang berpengaruh besar perlu dijemput bersama supaya masalah Bangsa Melayu dapat difikir bersama bebas dari perbalahan politik kepartian. Jadikanlah perjumpaan itu langkah pertama kepada proses permuafakatan yang sebenar. 

Adakah Bangsa Melayu mempunyai masalah hidup mati seperti yang dipancar dalam masyarakat?  Bagi menghadapi misi mencari kata sepakat secara berkesan dalam perkara masalah yang dihadapi oleh Bangsa Melayu semua pihak perlu menggugurkan buat sementara segala kepentingan lain selain dari kepentingan Bangsa Melayu.  Soal masa hadapan Bangsa Melayu perlu diletak di hadapan. Masalah perlu dinyatakan dengan jelas dan diakui bersama. Selagi masalah pokok tidak disimpul sebulat suara dengan jelas tidak mungkin lagkah yang mujrab dapat dirumus bagi meneguhkan kedudukan Bangsa Melayu. Apakah  masalah yang kritikal dan pokok yang jika tidak ditangani bersama akan meniadakan atau mencairkan kedudukan  Bangsa Melayu sebagai peneraju pemerintahan Negara kita. Orang Melayu  tidak mahu menang sorak kampong tergadai berulang   menimpa Bangsa Melayu di awal milineum ini sedangkan Malyasia akan terus maju.

Saranan pertemuan penting sedemikian boleh dengan mudah diketepikan sebagai satu ideal. Memang itu satu idea yang mencabar yang hanya layak diterima oleh pemimpin yang sanggup menerima cabaran besar. Dan jika ideal ini dikorbankan kerana pemimpin Melayu lebih mementingkan kepartian atau takut menyahut cabaran beasr maka tahulah wahai orang Melayu bahawa proses kehilangan Melayu di dunia akan berjalan. 

Orang Melayu yang sudah celik tahu bahawa dunia sentiasa berubah. Rupa bangsa pun banyak yang sudah berubah. Budaya di negara kita sedang pesat berubah tetapi kemenerian berkenaan masih leka dengan perkara lain tanpa nampak mengambil berat memandu kemunculan budaya baru. Politik negara kita juga telah berubah dari segi kecenderungan rakyat terhadap politik berbilang kaum. Bolehkah orang Melayu yang baru celik yang mahu berperanan hadapi realiti hari ini dan realiti masa depan yang terdekat, dan masa depan jangka panjang bahawa selain dari hak-hak Melayu yang terjamim termaktub dalam Perlembagaan (yang belum sempat dipinda) segala 'tuntutan' bagi menegak kepentingan Melayu, ketuanan Melayu atau kedaulatan Melayu dan perkara-perkara seperti itu yang kebelakangan ini dibangkitkan secara emosi akan hanya ditentukan oleh Mahkamah, atau bilangan undi atau suara terbanyak rakyat, atau oleh ilmu dan keupayaan mempengaruhi pemikiran rakyat jelata bukan-Melayu, atau oleh kepintaran orang Melayu berfikir dan keupayaan berdiri dalam medan berbilang kaum untuk meyakinkan rakyat supaya menerima dan menyokong apa yang dituntut itu.

No comments: