Friday, February 10, 2012

AL HIKAM

Sekadar Renungan… Tinggalkan Segala Sifat Yang Menyalahi Kehambaan (Al Hikam) "..Keluarlah dari sifat-sifat kemanusiaanmu (yakni yang jelek dan rendah), ialah semua sifat yang menyalahi kehambaanmu, supaya mudah bagimu untuk menyambut panggilan ALLAH dan mendekat kepadaNYA..". Sifat-sifat manusia yang berhubungan dengan faham agama terbahagi dua : Lahir iaitu yang dilakukan dengan anggota jasmani... dan batin iaitu yang berlaku dalam hati (rohani)... Sedang yang berhubungan dengan anggota lahir juga terbahagi kepada dua : Yang sesuai dengan perintah bernama taat…. dan yang menyalahi perintah bernama maksiat... Demikian pula yang berhubungan dengan hati terbahagi dua : Yang sesuai dengan hakikat (kebenaran) bernama iman dan ilmu…., dan yang berlawanan dengan hakikat kebenaran bernama nifaq dan kebodohan. Sifat-sifat yang jelek (rendah) iaitu : Hasad, iri hati, dengki, sombong, mengadu domba, merompak dan gila pangkat, sangat cinta pada dunia, dan tamak, rakus dan sebagainya. Dan dari sifat-sifat buruk ini akan timbul cabang-cabangnya yang berupa permusuhan kebencian, merendah terhadap orang kaya, menghina orang miskin, bermuka-muka, sempit dada, hilang kepercayaan terhadap jaminan ALLAH, kejam, tidak malu dan sebagainya. Apabila seorang telah dapat mengusir dan membersihkan diri dari sifat-sifat yang rendah, yang bertentangan dengan kehambaan itu, maka pasti ia akan sanggup menerima dan menyambut pimpinan Tuhan seperti di dalam ayat-ayat Al-Quran atau yang berupa pimpinan dan contoh yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Dan dengan demikian bererti ia telah mendekati hadrat Tuhan. Sifat ubudiyah (kehambaan) ialah patuh taat terhadap semua perintah dan larangan, mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan tanpa membantah dan merasa keberatan.

No comments: